Tutor iLMS kaedah pembelajaran masa depan

Kumpulan Utusan menjadi penyedia pertama sistem e-pembelajaran di Malaysia dan di Asia Tenggara yang dapat menyesuaikan keperluan bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan kehendak gaya belajar setiap pelajar.
Sistem yang dikenali sebagai Sistem Pengurusan Pembelajaran Pintar Tutor (Tutor iLMS) ini merupakan lanjutan kepada Portal Pendidikan di www.tutor.com.myyang dibangunkan oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia pada 2001.
Melalui aplikasi perisian baru yang dibangunkan secara kerjasama dengan Mimos Berhad ini, pelajar perlu menjalani ujian psikometrik terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kepandaian pelbagai dan cara pembelajaran yang sesuai dengan dirinya.
Hasil daripada ujian itu, sistem akan menjana profil pengguna dan memadankannya dengan format bahan P&P yang menepati cara pembelajaran pelajar berkenaan.
Perisian Tutor iLMS akan memandu pelajar untuk mengikuti proses pembelajaran secara teratur menggunakan objek pembelajaran yang dipersembahkan mengikut format yang menepati cara pembelajarannya sama ada dalam bentuk teks dan grafik, multimedia, realiti maya atau augmented reality.
Objek pembelajaran disediakan oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia. Manakala Majlis Amanah Rakyat (Mara) pula menyediakan isi kandungan yang merangkumi bahan P&P, keusahawanan serta kerjaya dan latihan.
Tutor iLMS dipasarkan di dalam dan luar negara oleh anak syarikat milik penuh Utusan Melayu (M) Berhad, Perfisio Solutions Sdn. Bhd.
Ia dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya, jumaat lalu.
Projek rintis untuk sistem e-pembelajaran yang sesuai digunakan di dalam serta di luar bilik darjah ini akan dilaksanakan di empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan di sebuah Institut Kemahiran Mara (IKM).
Selain itu, Tutor iLMS dilengkapi dengan sistem pengurusan pemantau iLMS yang bermanfaat kepada murid, ibu bapa, guru-guru malah hingga ke peringkat jabatan pendidikan negeri dan daerah.
Berbeza dengan sitem e-pembelajaran sedia ada, Tutor iLMS lebih pintar kerana menawarkan teknik pembelajaran mengikut kecenderungan pelajar dan tidak terhad kepada nota dalam talian dan soalan latih tubi sahaja.
Ulang kaji mengikut cara yang sesuai dengan kehendak pelajar ini pasti akan menambah kefahaman mereka terhadap sesuatu topik atau subjek.
Maklumat lanjut tentang Tutor iLMS boleh dirujuk di talian 03-22413055 atau e-mel:yusni@perfisio.com.
No comments:
Post a Comment