Bajet 2011:

10 sekolah dijadikan Sekolah Amanah tahun depan


KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah pada tahun depan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sekolah itu akan dikendalikan secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti. "Selain mendapat peruntukan lazim kerajaan, sekolah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.


Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia.


"Penubuhan dana berkenaan dicadangkan pada sesi "TownHall" Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini, katanya.


Dalam bidang kesihatan pula, Najib berkata 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan menyediakan empat bas klinik bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.


Untuk membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi cemerlang di sekolah, IMDB akan menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah.


"Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah", kata Najib. -Bernama

Bajet 2011: Bantuan Rm500, pemansuhan PTK antara imbuhan untuk penjawat awam


KUALA LUMPUR: Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini turut menawarkan pelbagai imbuhan untuk penjawat awam, termasuk Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 dan pemansuhan sistem Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia sebagai menghargai sumbangan 1.2 juta penjawat awam seluruh negara yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif kerajaan, serta dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha.


Beliau berkata, bantuan khas kewangan itu diberikan bagi meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah, dengan pembayaran akan dibuat pada Disember ini.


"Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam Gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan," katanya.


Najib berkata, satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam akan menggantikan sistem PTK yang akan dimansuhkan menjelang Jun tahun depan.


Beliau berkata, langkah itu diambil selaras dengan usaha berterusan kerajaan dalam menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh, selain mengambil kira maklum balas penjawat awam. Najib berkata, kerajaan juga akan menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada masa ini, termasuk dipanjangkan kepada pesara kerajaan selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah sekarang.


Beliau berkata, perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini juga akan disambung untuk tempoh setahun lagi, manakala kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru.


Bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki syarat-syarat membuat pinjaman perumahan, Najib berkata kerajaan akan menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa ini, berkuatkuasa 1 Januari 2011. Beliau berkata, kerajaan juga akan membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik, selain menggandakan kadar pinjaman untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah kepada RM20,000 berbanding RM10,000 pada masa ini bagi Kumpulan Sokongan Dua. "Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011," katanya.


Sementara itu, dalam usaha mempermudah urusan sektor swasta dengan agensi kerajaan, Najib berkata, inisiatif MyCoID Gateway, yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan akan diperluaskan ke agensi dan kementerian lain.


Beliau berkata, kerajaan juga akan memperkenalkan sistem pemarkahan untuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR), yang kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini.


Dengan sistem itu, permohonan PR akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas.


Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri, dengan masa pendaftaran satu hari sahaja berbanding 30 hari sebelum ini.


-Bernama

Bajet 2011: Sistem pendidikan dirombak dengan penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri.

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.


Di samping itu, sejumlah RM213 juta diperuntukkan sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada pengetua atau guru besar dan guru cemerlang, katanya.


"Bagi memperkasa pendidikan awal, kerajaan akan memperuntukkan RM111 juta untuk program Permata, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap serta meneruskan program Permata Pintar, Seni, Insan dan Remaja. "Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir tahun 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini. Bagi memantapkan pendidikan sekolah rendah dan menengah, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara. "Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam, kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta. "Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran. "Sejumlah RM213 juta pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan bahasa Malaysia, mempersadakan bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.


"Sehubungan ini, kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati, antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris," katanya. Perdana Menteri berkata 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah yang diharapkan akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah. Katanya kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation (Perbadanan Bakat) di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal tahun depan yang akan menggubal Rangka Tindakan Bakat Nasional dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia. -Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...